Skip to main content

KIFARAH

Kifarah


Definisi

Kifarah atau kaffarah diambil daripada perkataan asal al-kafru yang bermaksud menutup. Dinamakan kifarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah SWT.

Dari sudut istilah pula ia bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa yang berupa membebaskan hamba, sedekah dan puasa, dengan syarat-syarat tertentu.

Dalil Kifarah

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut) maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah – sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugama-Nya) supaya kamu bersyukur. – (Surah al-Ma’idah: ayat 89)


Diriwayatkan daripada `Uqbah bin `Amir r.a. daripada Nabi s.a.w. mafhumnya:


“Kifarah nazar sama dengan kifarah sumpah.” – (Riwayat Muslim)


Jenis-Jenis Kifarah

Terdapat beberapa jenis kifarah dalam syarak sebagaimana berikut:


1. Kifarah Merosakkan Puasa Kerana Berjimak Pada Bulan Ramadhan

Kifarah bagi puasa yang terbatal atau rosak adalah:


Membebaskan seorang hamba yang beriman sama ada lelaki ataupun perempuan;

Berpuasa selama 2 bulan berturut-turut jika tidak ada hamba ataupun tidak mampu melakukannya disebabkan kemiskinan dan sebagainya; atau

Memberikan makan kepada 60 orang miskin, setiap orang mendapat secupak makanan asasi negeri itu, jika tidak mampu berpuasa.

2. Kifarah Musafir Dan Pesakit Yang Tidak Mengqada’ Puasa Pada Tahun Ia Ditinggalkan

Sekiranya puasa tidak diqadha sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya, hukumnya berdosa dan wajib qadha serta mengeluarkan kifarah iaitu memberi secupak makanan asasi negeri itu kepada fakir miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan.


Bertambahnya kifarah dengan bertambahnya tahun, apabila dilewatkan qadha sehingga masuk Ramadhan yang kedua maka wajib dikeluarkan kifarah 2 cupak bagi setiap hari yang ditinggalkan berserta dengan qadha, dan begitulah seterusnya.


3. Kifarah Orang Tua Yang Tidak Mampu Berpuasa

Dibolehkan berbuka, tetapi wajib bersedekah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi negeri itu. Hanya itulah yang diwajibkan ke atasnya atau walinya.


4. Kifarah Wanita Hamil Dan Wanita Yang Menyusukan Anak Apabila Berbuka Kerana Bimbangkan Keselamatan Anaknya

Wajib qadha dan kifarah iaitu menyedekahkan secupak makanan asasi negeri itu bagi setiap hari yang ditinggalkan dan diberikan kepada fakir miskin.


Sekiranya wanita hamil atau wanita menyusukan anak berbuka kerana bimbangkan keselamatan dirinya, maka mereka hanya diwajibkan qadha dan dalam keadaan ini kifarah tidak diwajibkan.


5. Kifarah Haji

Kifarah haji terbahagi kepada 5 bahagian yang berupa dam (darah) yang diwajibkan ataupun yang boleh menggantikannya. Berikut adalah kelima-lima bahagian kifarah haji:


Bahagian pertama; Dam tersusun dan tertentu.

Bahagian kedua; Dam pilihan dan tertentu.

Bahagian ketiga; Dam pilihan dan seimbang.

Bahagian keempat; Dam tersusun dan seimbang.

Bahagian kelima; Dam tersusun dan seimbang juga.

6. Kifarah Sumpah

Barang siapa yang melanggar sumpah, wajib ke atasnya kifarah iaitu boleh memilih antara 3 perkara:


Membebaskan seorang hamba mukmin;

Memberi makan sehingga kenyang 10 orang miskin iaitu makanan sederhana yang diberikan kepada keluarganya; atau

Memberi pakaian 10 orang fakir miskin mengikut apa yang dinamakan pada adatnya adalah pakaian.

Sekiranya tidak mampu mengeluarkan salah satu daripada 3 perkara tersebut, maka wajib berpuasa 3 hari dan tidak disyaratkan berturut-turut.


7. Kifarah Nazar

Nazar yang wajib dikeluarkan kifarah hanyalah Nazar al-Lajjaj sahaja, iaitu nazar yang dilafazkan sewaktu bertengkar. Penazar wajib melaksanakan apa yang dinazarkan itu, ataupun dia boleh mengeluarkan “kifarah sumpah” seperti yang diterangkan di atas.


8. Kifarah Zihar

Kifarah zihar dikeluarkan berdasarkan kemampuan mengikut turutan berikut:


Membebaskan seorang hamba beriman yang tidak ada kecacatan yang menghalangnya daripada berusaha mencari rezeki dan bekerja;

Puasa 2 bulan berturut-turut apabila tiada hamba atau tidak mampu melakukannya; atau

Memberi makan 60 orang fakir miskin apabila tidak mampu berpuasa atau tidak mampu bertahan puasa berturut-turut disebabkan tua ataupun sakit.

9. Kifarah Membunuh

Orang yang membunuh sama ada dengan sengaja, menyerupai sengaja atau tersilap wajib mengeluarkan kifarah sebagai hak Allah SWT. Juga sama ada wali-wali mangsa memaafkannya daripada dikenakan diyah yang ditetapkan ataupun tidak, dan sama ada pembunuh itu waras (akil baligh) ataupun kanak-kanak ataupun orang gila. Kifarah itu adalah seperti berikut:


Membebaskan seorang hamba mukmin yang tiada kecacatan yang menghalangnya bekerja atau mencari rezeki; atau


Berpuasa 2 bulan berturut-turut jika tidak berkemampuan untuk membebaskan hamba.


Sekiranya tidak mampu berpuasa maka tidak diwajibkan memberi makanan kerana ia tidak diperintahkan, bahkan kewajipan kifarah itu tetap kekal sehinggalah dia mampu melakukannya.


10. Kifarah Melalui Pelaksanaan Hukum Hudud

Barang siapa yang melakukan dosa kesalahan hudud (hukumannya telah ditetapkan dalam agama) seperti membunuh, mencuri, qazaf dan meminum arak, kemudian hukuman tersebut dilaksanakan ke atasnya di dunia, sesungguhnya pelaksanaan hukuman tersebut menjadi kifarah bagi dosa itu walaupun dia tidak bertaubat dan Allah SWT tidak akan mencelanya di akhirat.


Hikmah Disyariatkan Kifarah

Kifarah di dalam syarak merupakan penampal kecuaian yang dilakukan oleh manusia dalam tindakan-tindakannya. Ia menampal bagi perkara yang telah dirosakkan dan memperbaiki perkara yang mungkin silap dilakukan. Selain itu ia juga menghapuskan kesan-kesan yang lahir daripada tindakan manusia sendiri.


Kifarah zihar contohnya adalah sebagai penghapus pendustaan yang dilakukan sewaktu dia menyamakan isterinya dengan ibunya dan pencerobohannya terhadap kehormatan orang yang dikasihinya.


Rujukan

Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. 2005. Kitab Fikah Mazhab Syafie. Jilid 3. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Comments

Popular posts from this blog

TANDA TANDA BAYI TERCEKIK DAN LANGKAH PENGAWASAN

Sebelum itu, mari ketahui apa tanda-tanda bayi tercekik dari  Kementerian Kesihatan Malaysia : Kanak-kanak mungkin akan mengalami:

Kisah FarmFresh Khasiat dan Sejarah

Anda tidak perlu risau, kesegaran dari ladang Farm Fresh yang dinikmati dalam segelas susu anda berada pada tahap kualiti yang terjamin. Meskipun baru 9 tahun penubuhan Farm Fresh, jenama ini sudah mampu memberi saingan sengit kepada jenama tenusu import di Malaysia. 

POKEMON DETEKTIF PIKACHU